Perumpamaan Kristian The Chronicles of Narnia

Perumpamaan Kristian tertentu mungkin dapat ditemui dalam entri untuk buku-buku dan watak-watak individu.

Walaupun beliau tidak berniat untuk berbuat demikian, dalam proses menulis karya-karya fantasinya, Lewis (seorang dewasa yang memeluk agama Kristian) mendapati dirinya memasukkan konsep-konsep teologi Kristian ke dalam cerita-cerita tersebut. Beliau menulis dalam Of Other World:

"Sesetengah orang kelihatan menyangka bahawa saya bermula dengan bertanya kepada diri saya sendiri bagaimana saya dapat berkata sesuatu mengenai agama Kristian kepada kanak-kanak; kemudian memasangnya terhadap cerita dongeng sebagai satu alat, kemudian mengumpulkan maklumat mengenai psikologi kanak-kanak dan memutuskan kumpulan usia mana yang saya akan tujukan tulisan saya ini; kemudian menyenaraikan kebenaran-kebenaran Kristian asasi dan menempa 'kiasan-kiasan' untuk menjelmakan mereka. Semua ini adalah benar-benar tuduhan melulu. Saya tidak mampu menulis sebegitu. Semuanya bermula dengan bayangan; seekor faun membawa payung, seorang ratu di atas kereta luncur, seekor singa yang tampan. Pada mulanya tiada sesuatu yang bersifat Kristian mengenai mereka; unsur tersebut mendorong dirinya sendiri tanpa dipaksa."

Lewis, seorang pakar dalam subjek kiasan, mempertahankan bahawa buku-buku itu bukanlah kiasan dan lebih gemar menggelar aspek-aspek Kristian dalam buku-buku tersebut sebagai "bersifat tanggapan" semata-mata. Ini serupa dengan apa yang kita sekarang gelar sebagai dunia-dunia perumpamaan . Lewis menulis sepucuk surat kepada Puan Hook pada Disember 1958:

Sekiranya Aslan melambangkan tuhan yang niskala sama seperti Giant Despair [satu watak dalam The Pilgrim's Progress ] melambangkan kekecewaan, dia mungkin adalah tokoh kiasan. Hakikatnya, bagaimana pun, dia adalah satu ciptaan yang memberikan jawapan khayalan terhadap soalan, 'Apa yang terjadi kepada al-Masih jika sebenarnya terdapat sebuah dunia seperti Narnia, dan Dia memilih untuk dijelmakan semula dan mati dan kemudian dihidupkan kembali dalam dunia itu sebagaimana apa Dia lakukan sebenarnya dalam dunia kita ini?' Ini sama sekali bukan kiasan"

Dengan penayangan filem Disney 2005 wujud perhatian baru terhadap perumpamaan Kristian yang ditemui dalam buku-buku tersebut. Sesetengah mereka mendapatinya tidak begitu menyenangkan, sementara sesetengah yang lain menyatakan bahawa semua perumpamaan itu sukar ditemui sekiranya seseorang tidak begitu biasa dengan agama Kristian. Alan Jacobs, penulis buku The Narnian:The Life and Imagination of C.S. Lewis, bulat-bulat menyatakan bahawa Lewis telah menjadi "buah catur dalam perang budaya Amerika". Sesetengah orang Kristian melihat Riwayat Narnia itu sebagai alat sangat baik untuk kegiatan dakyah dan mubaligh Kristian. Banyak buku yang telah ditulis menarik perhatian terhadap perumpamaan Kristian dalam Riwayat Narnia itu.